Pertemuan antara Pengarah Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) dan ADUN Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa bin Hj Long, telah berlangsung dengan tujuan membincangkan usaha bersama untuk membantu pelombong-pelombong kecil, khususnya pemegang lesen Skim Pelombong Kecil (SPK) yang terdiri daripada penduduk kampung setempat di Kuala Lipis. Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah bertukar idea dan perbincangan mengenai peluang latihan kemahiran yang boleh disalurkan oleh AMMP kepada komuniti tempatan.

YB Dato’ Mustapa menekankan pentingnya menyediakan latihan kemahiran yang relevan dan praktikal bagi meningkatkan kecekapan pelombong kecil, yang sebahagian besarnya terdiri daripada penduduk tempatan. AMMP, sebagai pusat latihan utama dalam bidang perlombongan, berperanan penting dalam memberi pendedahan kepada teknik perlombongan yang lebih selamat dan berkesan. Melalui kerjasama ini, diharapkan dapat memperkukuh ekonomi tempatan, meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, dan memajukan industri perlombongan di negeri Pahang.
“𝐌𝐞𝐫𝐢𝐧𝐭𝐢𝐬 𝐊𝐞𝐥𝐞𝐬𝐭𝐚𝐫𝐢𝐚𝐧 𝐌𝐢𝐧𝐞𝐫𝐚𝐥 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚”








