Pertemuan bersama Naib Presiden (Pembangunan Perniagaan) Selinsing Gold Mine, Tuan Zaidi Harun, baru-baru ini memberikan ruang untuk pertukaran idea dan pandangan mengenai keperluan latihan pekerja dalam industri mineral. Perbincangan yang berlangsung turut menyentuh pelbagai aspek penting dalam pembangunan kemahiran, termasuk peranan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) dalam menyediakan latihan kemahiran khusus untuk sektor ini.
Tuan Zaidi Harun banyak berkongsi input serta idea yang sangat positif, termasuk mencadangkan beberapa inisiatif bagi memperkasa lagi latihan teknikal untuk pekerja dalam industri perlombongan. Beliau turut menekankan betapa pentingnya program-program latihan yang ditawarkan oleh AMMP dalam membangunkan sumber manusia yang berkemahiran tinggi, selaras dengan kehendak industri dan perkembangan teknologi terkini.
Pertemuan ini memberi keyakinan bahawa kerjasama antara AMMP dan industri perlombongan, khususnya Selinsing Gold Mine, akan terus berkembang untuk menyediakan lebih banyak peluang latihan yang berkualiti, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, tetapi juga kepada kemajuan industri mineral di Malaysia.








