Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) hari ini telah menganjurkan satu sesi bengkel bersama pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia bagi membincangkan dan mendapatkan input awal bagi pembangunan National Occupational Skills Standard (NOSS) khusus untuk industri perlombongan.
Sesi perbincangan ini diketuai oleh Encik Mohamad Faisal Bin Abdullah, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Hubungan Industri & Kerjasama Strategik JPK, bersama seorang lagi pegawai beliau serta dua orang wakil dari Bahagian Standard Pekerjaan & Kurikulum TVET.

Tujuan utama bengkel ini adalah untuk mengumpul maklumat dan keperluan kemahiran sebenar yang diperlukan oleh tenaga kerja di sektor perlombongan mineral, khususnya peranan sebagai operator dan juruteknik. Input ini penting bagi memastikan pembangunan standard kemahiran (NOSS) yang dibangunkan benar-benar relevan, praktikal dan memenuhi keperluan semasa industri.
Turut hadir ialah wakil daripada Pahang Mining Corporation (PMC) yang berkongsi pandangan serta pengalaman mereka berdasarkan pemantauan langsung operasi perlombongan Skim Pelombong Kecil (SPK) di Kuala Lipis. Kehadiran mereka amat penting dalam memberikan gambaran realiti kerja di lapangan yang menjadi asas kepada pembentukan modul latihan yang lebih holistik dan berpaksikan keperluan sebenar.

Bengkel ini merupakan satu langkah awal yang strategik dalam persediaan AMMP untuk menawarkan program latihan kemahiran yang akan diiktiraf oleh JPK, selaras dengan hala tuju pembangunan modal insan dalam industri mineral.
Usaha ini juga seiring dengan inisiatif kerajaan negeri Pahang dalam merangka pembangunan industri mineral yang lebih mampan, berdaya saing dan selari dengan kehendak nasional dalam memperkukuh sektor perlombongan negara.
“Merintis Kelestarian Mineral Negara”








