Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) telah melaksanakan Kursus Asas Pengendalian Dron yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta syarikat awam. Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan AMMP dalam memperkasa pengetahuan dan kemahiran teknologi moden dalam kalangan pemain industri serta sektor perkhidmatan awam.

Kursus ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta berkaitan penggunaan teknologi dron yang kini semakin meluas diaplikasikan dalam pelbagai bidang termasuk pemetaan, pemantauan dan pengurusan operasi. Sepanjang kursus berlangsung, peserta telah diperkenalkan dengan konsep asas serta kepentingan penggunaan dron dalam meningkatkan kecekapan kerja.

Antara pengisian utama kursus adalah pengenalan kepada jenis-jenis dron yang terdapat di pasaran, selain memahami komponen utama dan fungsi setiap bahagian peralatan. Peserta turut didedahkan dengan proses pemasangan dron serta konfigurasi peralatan bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik dan selamat.

Selain itu, kursus ini juga memberi penekanan kepada teknik kawalan dan pengendalian dron yang betul. Peserta berpeluang mempelajari kemahiran asas penerbangan termasuk cara mengawal pergerakan dron secara stabil, memahami persekitaran penerbangan serta langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan sebarang risiko.

Secara keseluruhannya, penganjuran kursus ini diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta dalam meningkatkan tahap kemahiran serta keyakinan mereka dalam mengendalikan dron. AMMP komited untuk terus melaksanakan inisiatif seumpama ini bagi menyokong pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri masa kini.
‘Merintis Kelestarian Mineral Negara”








