Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) telah menerima jemputan menyertai lawatan rasmi ke tapak operasi Selinsing Gold Mine Manager Sdn. Bhd. yang terletak di daerah Lipis, Pahang. Lawatan ini turut disertai oleh delegasi daripada Majlis Daerah Lipis dan Majlis Daerah Tanah Merah, Kelantan, sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan gambaran menyeluruh berkaitan operasi perlombongan emas berskala besar di Malaysia.

Sepanjang lawatan, delegasi diberi taklimat menyeluruh berkaitan operasi harian lombong, prosedur keselamatan yang diguna pakai, sistem pemantauan alam sekitar serta pendekatan pengurusan sumber manusia yang diamalkan. AMMP secara khususnya meneliti aspek pelaksanaan pelan keselamatan dan langkah-langkah mitigasi risiko yang boleh dijadikan contoh kepada para pelatih dalam kursus-kursus berkaitan keselamatan industri perlombongan di akademi.

Peluang lawatan ini turut dimanfaatkan oleh pihak AMMP untuk mengadakan perbincangan awal bersama barisan pengurusan tertinggi Selinsing Gold Mine, termasuk Naib Presiden (Pembangunan Perniagaan), Tuan Zaidi bin Harun dan Naib Presiden (Sumber Manusia), Puan Siti Sholeha. Perbincangan turut disertai wakil daripada bahagian sumber manusia yang membincangkan keperluan tenaga kerja mahir, latihan teknikal serta potensi kerjasama dalam pembangunan modul latihan industri bagi pekerja dan pelatih akan datang.

AMMP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Selinsing Gold Mine atas layanan mesra dan peluang yang diberikan. Diharapkan jalinan hubungan ini dapat diteruskan ke peringkat yang lebih strategik dalam menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi untuk sektor perlombongan negara.
“Merintis Kelestarian Mineral Negara”








