Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) telah menyertai program simposium anjuran Pusat SMaRRT, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menghimpunkan para penyelidik dan penggiat industri dalam bidang mineralogi. Program ini memberi tumpuan kepada kaedah terkini dalam pengesanan unsur mineral, khususnya yang berkaitan dengan industri penerokaan dan perlombongan.

Antara teknologi yang diperkenalkan ialah peralatan Fluoresens X-ray (XRF) mudah alih, yang kini dilengkapi ciri-ciri canggih bagi tujuan pengenalpastian mineral secara pantas dan tepat. Teknologi ini amat membantu dalam kerja-kerja lapangan kerana kebolehannya mengesan jenis mineral dalam sampel batuan tanpa perlu proses makmal yang memakan masa.

Penyertaan AMMP dalam program ini bukan sahaja membuka ruang untuk menimba ilmu baharu, malah memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara institusi latihan dan akademik. Inisiatif sebegini dilihat mampu memacu pembangunan teknologi tempatan dalam sektor perlombongan yang lebih mampan dan berdaya saing.
“Merintis Kelestarian Mineral Negara”








