Slide

"Penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang akan menjadi nadi utama pusat peningkatan latihan kemahiran bidang mineral khususnya kepada pekerja sedia ada di dalam industri perlombongan dan pengkuarian di samping berfungsi sebagai sebuah pusat 'capacity building' secara holistik di Negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya"

- Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang ke -15

Merintis Kelestarian
Mineral Negara

Komited melahirkan pakar melalui pendidikan, penyelidikan, dan latihan inovatif, Akademi Mineral Malaysia Pahang memacu industri mineral ke arah kelestarian dan daya saing global.

Seminar Mineral Security & Sustainability in Malaysia: Pathways for the Future

Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) telah berjaya menganjurkan Seminar Mineral Security & Sustainability in Malaysia: Pathways for the Future yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuantan, Pahang. Seminar ini menjadi platform penting dalam memperkukuh perkongsian ilmu, jaringan kerjasama strategik serta perbincangan mengenai pembangunan industri mineral negara ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing.

Penganjuran seminar ini merupakan hasil kerjasama erat antara AMMP, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pahang Mining Corporation (PMC) dan Pahang Skills Development Centre (PSDC), dengan sokongan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG). Kerjasama pelbagai pihak ini membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta memacu kemajuan sektor mineral di Malaysia.

Sepanjang seminar berlangsung, para peserta telah disajikan dengan pelbagai perkongsian ilmiah yang menyentuh isu-isu semasa berkaitan pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) di Malaysia, dasar dan hala tuju mineral kritikal negara, serta kepentingan keselamatan dalam operasi perlombongan. Selain itu, seminar ini turut mengetengahkan penggunaan teknologi terkini, kaedah inovatif serta amalan terbaik dalam memastikan aktiviti perlombongan dilaksanakan secara lebih cekap, selamat dan lestari sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan negara.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada YB. Dato’ Mohamad Nizar, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, atas kesudian beliau merasmikan seminar ini serta menyampaikan amanat mengenai kepentingan memperkukuh sektor mineral sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

Seminar ini telah menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai latar belakang, termasuk wakil kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pemain industri perlombongan dan kuari, ahli akademik, penyelidik, pelajar serta orang awam yang berminat untuk mendalami perkembangan industri mineral di Malaysia. Kehadiran dan penglibatan aktif para peserta telah menjadikan seminar ini sebagai medan perbincangan yang produktif serta membuka ruang kepada pertukaran idea dan pengalaman antara semua pihak berkepentingan.

AMMP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penceramah, rakan strategik, penaja, urus setia dan para peserta yang telah bersama-sama menjayakan seminar ini. Diharapkan segala ilmu, pandangan dan jaringan kerjasama yang terjalin sepanjang program ini dapat dimanfaatkan dalam memperkukuh pembangunan industri mineral negara, sekali gus menyokong agenda keselamatan mineral dan kelestarian sumber demi manfaat generasi masa hadapan.

“Merintis Kelestarian Mineral Negara”

Skip to content