Satu pertemuan serta sesi perbincangan ringkas telah diadakan antara wakil Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) dan Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Putrajaya. Pertemuan ini turut dihadiri oleh Puan Hasnida binti Zabidi@Zainudi, Timbalan Pengarah Unit Komunikasi JMG, bagi membincangkan perancangan strategik berkaitan penyediaan kursus latihan dalam sektor perlombongan dan pengkuarian.
Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak AMMP telah memaklumkan kepada Puan Hasnida mengenai perancangan jangka panjang akademi dalam menawarkan kursus latihan yang berasaskan konsep perlombongan mampan. Fokus utama adalah memastikan latihan yang disediakan dapat memenuhi keperluan industri, selari dengan amalan terbaik dalam pemeliharaan alam sekitar serta pematuhan terhadap peraturan dan dasar semasa.

Ketika perbincangan berlangsung, pihak AMMP turut menerima sapaan serta pandangan berharga daripada Ketua Pengarah JMG Malaysia, YBhg. Datuk Zamri bin Ramli. Beliau menyuarakan beberapa cadangan serta idea bernas yang boleh diterapkan dalam usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja dalam industri mineral negara. Keprihatinan serta sokongan yang diberikan oleh JMG, khususnya oleh YBhg. Datuk Ketua Pengarah, dilihat sebagai satu langkah positif dalam memastikan AMMP terus menjadi institusi utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ini.

Melalui jalinan kerjasama yang lebih kukuh antara AMMP dan JMG, pelbagai inisiatif serta program strategik akan dirangka bagi memastikan pembangunan tenaga mahir dalam industri perlombongan dan pengkuarian terus diperkasa. Hubungan erat ini diharapkan dapat memberi impak positif yang berterusan kepada pertumbuhan sektor mineral di Negeri Pahang serta di peringkat nasional.
“Merintis Kelestarian Mineral Negara”








