Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya melaksanakan Kursus Precious Metal Exploration & Resources Development yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang, khususnya dalam sektor industri mineral serta jabatan dan agensi kerajaan.
Kursus ini telah disertai oleh peserta dari beberapa negeri dan wilayah, termasuk Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Sabah. Penyertaan daripada pelbagai sektor ini mencerminkan kepentingan perkongsian ilmu, pengalaman serta kepakaran dalam usaha memperkukuh pembangunan industri mineral negara.

Penganjuran kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan asas geologi, ekonomi mineral serta kaedah penilaian sumber mineral. Pendedahan terhadap aspek-aspek tersebut amat penting bagi membantu peserta memahami potensi sumber mineral, menilai nilai ekonominya serta menyokong perancangan dan pembangunan sumber mineral secara lebih sistematik dan berkesan.
Sepanjang pelaksanaan kursus, para peserta turut menerima perkongsian ilmu dan input teknikal yang bermanfaat daripada pegawai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri serta Makmal Geokimia. Perkongsian ini memberikan pendedahan tambahan kepada peserta mengenai aspek teknikal dan analisis berkaitan penerokaan serta penilaian sumber mineral, sekali gus memperkukuh pemahaman terhadap aplikasi ilmu dalam industri sebenar.

Kerjasama strategik antara AMMP dan UMPSA ini diharap dapat terus menjadi platform dalam memperkasa pembangunan kompetensi, meningkatkan kemahiran teknikal serta melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang mineral. Usaha berterusan seperti ini juga penting bagi menyokong pembangunan industri mineral negara yang lebih mampan, berdaya saing dan berteraskan pengetahuan saintifik.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas komitmen, penglibatan aktif serta kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang kursus berlangsung. Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya serta diaplikasikan dalam tugasan dan bidang masing-masing demi kemajuan industri mineral negara.
“Merintis Kelestarian Mineral Negara”








