Slide

"Penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang akan menjadi nadi utama pusat peningkatan latihan kemahiran bidang mineral khususnya kepada pekerja sedia ada di dalam industri perlombongan dan pengkuarian di samping berfungsi sebagai sebuah pusat 'capacity building' secara holistik di Negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya"

- Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang ke -15

Merintis Kelestarian
Mineral Negara

Komited melahirkan pakar melalui pendidikan, penyelidikan, dan latihan inovatif, Akademi Mineral Malaysia Pahang memacu industri mineral ke arah kelestarian dan daya saing global.

Kursus Pemantapan Laman Web Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP)

Satu kursus latihan pemantapan pengurusan laman sesawang rasmi AMMP menggunakan platform WordPress telah diadakan pada hari ini dengan jayanya. Kursus ini merupakan salah satu usaha proaktif pihak pentadbiran dalam meningkatkan keupayaan warga kerja AMMP dalam pengendalian sistem digital, khususnya berkaitan pengurusan laman sesawang sebagai medium penyampaian maklumat rasmi akademi.

Kursus berkenaan telah dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi maklumat serta pengurusan statistik dan perangkaan laman web. Turut serta dalam sesi ini ialah kakitangan AMMP termasuk pelatih praktikal yang diberikan pendedahan menyeluruh berkaitan pengendalian laman sesawang menggunakan platform WordPress. Antara kemahiran yang diterapkan sepanjang sesi latihan termasuklah teknik-teknik asas dan lanjutan dalam membina, mengemas kini, menyelenggara serta mengoptimumkan laman web bagi memastikan penyampaian maklumat kepada orang ramai dapat dilakukan secara pantas, teratur dan menarik.

Latihan ini juga turut memberi penekanan terhadap kepentingan pengurusan laman web yang responsif serta mesra pengguna, merangkumi elemen-elemen seperti pengurusan antaramuka pengguna (UI), pengalaman pengguna (UX), pengoptimuman prestasi (performance optimization) serta teknik Search Engine Optimization (SEO) bagi memastikan laman sesawang rasmi AMMP mudah ditemui melalui carian di internet.

Kursus ini adalah sebahagian daripada usaha pentadbiran AMMP dalam memperkukuhkan penyampaian maklumat berkaitan kursus-kursus serta program latihan kemahiran yang ditawarkan oleh akademi, khususnya dalam bidang mineral, geosains dan teknologi industri. Pelaksanaan kursus ini juga diharap dapat mempertingkatkan lagi keupayaan mempromosi AMMP kepada khalayak yang lebih luas termasuk pelajar, penyelidik, pemain industri perlombongan dan kuari, agensi kerajaan serta masyarakat umum secara keseluruhannya.

Melalui pengurusan laman web yang lebih sistematik dan efektif, AMMP berhasrat untuk memastikan segala maklumat berkaitan aktiviti akademik, latihan kemahiran, program pembangunan industri serta peluang pembelajaran dapat disampaikan dengan lebih mudah, sekaligus memperkukuhkan peranan AMMP sebagai pusat latihan teknikal utama dalam sektor mineral dan sumber bumi negara.

“Merintis Kelestarian Mineral Negara”

Skip to content