Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) telah mengadakan satu kunjung hormat ke pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Negeri Pahang yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh profesionalisme. Pertemuan tersebut melibatkan Pengarah AMMP, Encik Rashdan bin Abdul Manaf, bersama Pengarah CIDB Negeri Pahang, Encik Nur Iskandar bin Zulkefli, serta turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan dan pegawai penguat kuasa CIDB Negeri Pahang.

Pertemuan ini bertujuan untuk meneroka potensi kolaborasi antara kedua-dua agensi dalam memperkukuhkan pembangunan industri perlombongan negara, khususnya dari segi latihan kemahiran, pematuhan standard serta pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor berkenaan. Perbincangan yang konstruktif ini turut membuka peluang kepada sinergi baharu yang mampu menyokong hala tuju industri perlombongan selari dengan pembangunan sektor pembinaan negara.

AMMP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak CIDB Negeri Pahang atas kesudian menerima kunjungan ini serta pandangan dan panduan yang amat bernilai demi memperkasa industri perlombongan dan memperluas jaringan kerjasama strategik di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Merintis Kelestarian Mineral Negara”








