Akademi Mineral Malaysia (AMMP) ingin mengucapkan penghargaan yang sebesar-besarnya kepada pihak HRD Corp Cawangan Pantai Timur atas peluang yang diberikan untuk menyertai HRD Corp’s Facilitated Engagement Program. Pihak AMMP amat menghargai kesempatan ini kerana ia membolehkan pihak kami memperkenalkan AMMP sebagai pusat latihan dalam bidang mineral, sekaligus membuka ruang untuk berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri latihan dan pengembangan kemahiran.

Melalui program ini, AMMP turut diberi peluang untuk memperkenalkan peranan serta fungsi AMMP kepada majikan yang hadir, khususnya sebagai pusat latihan yang menawarkan kursus dalam bidang mineral. Ini adalah langkah penting bagi meningkatkan kesedaran industri terhadap kepentingan latihan dan pembangunan kemahiran dalam sektor mineral.

HRD Corp’s Facilitated Engagement Program bukan sahaja menjadi platform untuk penyedia latihan, tenaga pengajar, dan majikan berkumpul, tetapi juga sebagai ruang untuk bersama-sama mengenal pasti cabaran yang dihadapi, merangka strategi untuk menghadapi trend masa depan, dan memperkukuhkan peranan HRD Corp dalam memperkasakan landskap latihan yang seiring dengan keperluan industri. Diharapkan melalui perbincangan ini, lebih banyak peluang kerjasama dapat diwujudkan untuk membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang mineral yang menjadi keutamaan negara.

“𝐌𝐞𝐫𝐢𝐧𝐭𝐢𝐬 𝐊𝐞𝐥𝐞𝐬𝐭𝐚𝐫𝐢𝐚𝐧 𝐌𝐢𝐧𝐞𝐫𝐚𝐥 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚”








