AMMP telah menganjurkan Bengkel Dua Hala Pemilikan & Pembangunan bersama Pahang Mining Corporation (PMC) yang berlangsung dalam suasana penuh komitmen dan kerjasama strategik. Bengkel ini telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PMC, YH. Dato’ Hj. Ahmad Rizal bin Ali @ Jaafar serta turut dihadiri oleh Pengarah AMMP, Encik Rashdan Abdul Manaf dan ketua-ketua jabatan di bawah PMC.

Pelaksanaan bengkel ini menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak membincangkan secara mendalam mengenai hala tuju pembangunan, perkongsian kepakaran serta pengukuhan strategi bagi memperkasa sektor mineral negeri. Perbincangan dua hala ini bukan sahaja menekankan aspek pemilikan dan pembangunan, malah turut meneliti potensi jalinan kerjasama yang lebih menyeluruh dalam melaksanakan pelbagai inisiatif.

Selain itu, bengkel ini turut menekankan kepentingan AMMP dalam membina kapasiti tenaga kerja mahir melalui penyediaan latihan, modul pembangunan dan program berstruktur yang bersesuaian dengan keperluan semasa industri. AMMP diyakini akan menjadi pusat latihan rujukan yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi demi menyokong pertumbuhan sektor mineral secara mampan.

Kerjasama erat dengan PMC dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan peranan AMMP sebagai institusi yang mendokong pembangunan mineral negeri. Dengan pengalaman dan kepakaran PMC, sinergi ini diharap dapat membuka ruang yang lebih luas untuk pelaksanaan program pembangunan industri mineral yang berkesan serta berdaya saing.

Melalui penganjuran bengkel ini, AMMP dan PMC bersepakat untuk terus bergerak seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pahang. Usaha bersama ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negeri, malah turut memastikan sektor mineral berkembang dengan lebih lestari, berdaya tahan dan selaras dengan agenda pembangunan negara.
“Merintis Kelestarian Mineral Negara”