Slide

"Penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang akan menjadi nadi utama pusat peningkatan latihan kemahiran bidang mineral khususnya kepada pekerja sedia ada di dalam industri perlombongan dan pengkuarian di samping berfungsi sebagai sebuah pusat 'capacity building' secara holistik di Negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya"

- Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang ke -15

Merintis Kelestarian
Mineral Negara

Komited melahirkan pakar melalui pendidikan, penyelidikan, dan latihan inovatif, Akademi Mineral Malaysia Pahang memacu industri mineral ke arah kelestarian dan daya saing global.

Penglibatan AMMP dalam Program TVET Nadir Bumi Anjuran Centre for Sustainability of Mineral and Resources Recovery Technology (SMRRT) UMPSA – Slot Jaringan Industri Bersama Pelatih.

Pada hari ini, para pelatih daripada GIATMARA sekitar negeri Pahang yang mengikuti Program Latihan TVET Nadir Bumi telah menyertai Slot Jaringan Industri yang diselaraskan oleh AMMP dengan penglibatan tiga wakil industri yang berpengalaman dalam bidang berkaitan.

Program ini dilaksanakan sebagai platform pendedahan awal kepada pelatih bagi memahami realiti sebenar dunia industri, khususnya dalam sektor nadir bumi yang kini semakin berkembang dan strategik di Malaysia. Melalui penglibatan pihak industri secara langsung, para peserta berpeluang memperoleh input yang praktikal serta selari dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan.

Slot ini menampilkan perkongsian daripada YH Dato’ Haji Jumaat Mansor, Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran dari Lynas Rare Earth Malaysia Sdn. Bhd., Encik Mohamed Zamin Mohamed Ali, Pegawai Operasi dari YP Mining Sdn. Bhd., serta Puan Rozfalily Mustafa, Pengurus Kanan Pembangunan Projek dari GE Mining Sdn. Bhd., yang masing-masing berkongsi pengalaman, cabaran serta keperluan tenaga kerja dalam industri.

Sesi dimulakan dengan pengenalan kepada latar belakang industri serta peranan syarikat dalam pembangunan sektor nadir bumi di Malaysia. Para peserta kemudiannya didedahkan dengan keperluan kemahiran semasa, termasuk aspek teknikal, keselamatan, serta kemahiran insaniah yang penting dalam memastikan kebolehsaingan dalam industri.

Selain itu, para pelatih turut diberi gambaran mengenai peluang kerjaya, laluan pembangunan profesional serta jangkaan majikan terhadap graduan TVET. Perkongsian ini secara tidak langsung membantu peserta merancang hala tuju kerjaya dengan lebih jelas dan terarah.

Secara keseluruhannya, Slot Jaringan Industri ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap keperluan industri, memberikan gambaran menyeluruh mengenai laluan kerjaya serta mempersiapkan diri dengan kemahiran yang relevan. Inisiatif seperti ini juga dilihat mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang nadir bumi, selaras dengan keperluan pembangunan industri mineral negara.

“𝐌𝐞𝐫𝐢𝐧𝐭𝐢𝐬 𝐊𝐞𝐥𝐞𝐬𝐭𝐚𝐫𝐢𝐚𝐧 𝐌𝐢𝐧𝐞𝐫𝐚𝐥 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚”

Skip to content