Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) telah mengadakan satu kunjungan rasmi ke Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Cyberjaya sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam pembangunan latihan kemahiran berkaitan industri mineral.
Kunjungan ini diterima baik oleh Bahagian Hubungan Industri dan Kerjasama Strategik JPK dan telah disambut oleh Ketua Penolong Pengarah JPK, Encik Mohd Faisal Ahmad bersama dua orang pegawai. Lawatan ini antara lain bertujuan untuk memperkenalkan AMMP sebagai sebuah pusat latihan berteraskan bidang kemahiran mineral yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Sepanjang pertemuan, pihak AMMP turut mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada pihak JPK berkenaan pembangunan modul latihan kemahiran serta keperluan NOSS dalam bidang perlombongan mineral.
Melalui inisiatif ini, diharapkan usaha pembangunan modul latihan berkenaan dapat menyumbang kepada pembentukan tenaga kerja mahir dalam sektor mineral serta menyokong aspirasi Pelan Kerangka Industri Mineral Negara 2020-2030.
“Merintis Kelestarian Mineral Negara”








